BANYAKKAN FILEM PATRIOTIK, SEJARAH, KUKUHKAN SEMANGAT KENEGARAAN – AGONG

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan berangkat menonton filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Aurum Theatre, The Gardens Mall semalam. –sumber gambar Istana Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar penerbitan filem-filem berunsurkan patriotik dan epik sejarah dapat dibanyakkan bagi menyemarak dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan serta kenegaraan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Istana Negara menerusi catatan di Facebook rasminya memaklumkan, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa fenomena yang dicetuskan menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan boleh menjadi contoh dan inspirasi kepada industri perfileman negara.

Menurut catatan itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berkenan berangkat menonton filem Mat Kilau di The Gardens Mall semalam. 

Turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut warga syarikat penerbitan filem, Studio Kembara Sdn Bhd dan beberapa pelakon filem berkenaan.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan tahniah kepada syarikat penerbitan, pengarah dan barisan pelakon atas kejayaan mengungguli senarai filem tempatan paling laris pernah diterbitkan dalam sejarah perfileman negara, hampir mencecah RM100 juta,” menurut catatan itu.

Seri Paduka turut menzahirkan rasa bangga dan kagum dengan mutu filem dan lakonan yang dijayakan oleh syarikat penerbitan tempatan, barisan produksi, pelakon serta sambutan hebat rakyat terhadap filem tersebut. 

Selain mencetuskan fenomena setelah ditayangkan dalam negara pada 23 Jun lepas, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang diarahkan oleh Syamsul Yusof turut ditayangkan di Indonesia bermula 31 Ogos lepas. —AlHijrah Online

Leave a Reply