KPM AKAN TELITI GARIS PANDUAN PEMILIHAN PENCERAMAH DI SEKOLAH

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperincikan garis panduan berkaitan pemilihan penceramah untuk program di sekolah termasuk ceramah motivasi, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Pendidikan yang Selamat dan Kondusif di sini hari ini, Radzi berkata antara perkara yang akan diperhalusi adalah berkaitan kebebasan pihak sekolah memilih sendiri penceramah luar.

“Berkaitan dengan (program) motivasi di sekolah, kenapa kita tak bagi sekolah autonomi dalam perkara tertentu. Kalau kita tak pantau, ada lebih 10,000 sekolah dan kita akan dapati nanti macam-macam pendekatan digunakan sekolah untuk program motivasi. 

“Kalau kita perincikan semua benda nanti, kata semua kementerian nak kawal, kenapa tak bagi autonomi kepada sekolah? Inilah cabaran yang kita hadapi,” katanya mengulas mengenai kes amang seksual yang dilaporkan baru-baru ini membabitkan seorang penceramah bebas yang juga bertaraf selebriti.

Selebriti lelaki itu yang telah ditahan polis Khamis lepas di Selangor, dipercayai berkenalan dengan mangsa dalam program motivasi di sekolah. Sehingga kini, terdapat enam laporan polis telah dibuat terhadap penceramah bebas yang direman enam hari sehingga 14 Sept ini.

Radzi berkata sehingga garis panduan khusus dibangunkan kelak, garis panduan dan pekeliling sedia ada akan terus dikuatkuasakan dan terpakai.

“Sekarang ini garis panduan sedia ada terpakai sehingga kita membuat garis panduan atau pekeliling yang berikutnya dan dalam isu ini, kita mahu capai keseimbangan yang sebenar dalam setiap perkara ini dan kita perlu melakukan penelitian terlebih dahulu sebelum kita putuskan sesuatu,” katanya.

Radzi berkata KPM memandang serius isu berkenaan dan dalam masa yang sama mahu memastikan sekolah merupakan tempat yang selamat untuk pelajar. 

“Sekolah semua berniat baik, ingin dapatkan penceramah-penceramah dari pelbagai konteks untuk beri motivasi kepada murid-murid ini tapi kadang-kadang berlaku kes tertentu seperti yang dibangkitkan,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply