BAPA TANAM ANAK TEPI JALAN SELEPAS DERA SEHINGGA MATI

KUALA LUMPUR: Perbuatan kejam seorang lelaki mendera dan menanam mayat anak perempuannya berusia sembilan tahun di sebuah kawasan riadah di sini, terbongkar selepas ibu kepada kanak-kanak berkenaan membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata pihaknya menerima laporan daripada isteri suspek mengenai anaknya yang dalam keadaan lemah dan berdarah pada bahagian mulut selepas balik ke rumah setelah bekerja pada Jumaat lepas, disyaki didera oleh suaminya.

Susulan laporan wanita warga asing berusia 41 tahun itu, sepasukan anggota polis bersama wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu ke rumahnya di Jalan Pudu, di sini untuk mengambil anaknya, namun anak serta suaminya tiada di rumah.

“Lelaki berumur 40 tahun yang tidak bekerja itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari pada Ahad lepas di Jalan Pasar Pudu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit mengaku menanam mayat anaknya di tepi jalan Taman Dusun Bandar, di sini namun tidak mendedahkan waktu lelaki berkenaan menanam mayat anaknya itu.

Katanya, keputusan bedah siasat mendapati punca kematian kanak-kanak perempuan itu disebabkan cedera parah pada bahagian abdomen akibat hentakan objek tumpul.

Menurutnya, lelaki itu direman tujuh hari hingga 18 Dis dan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.–AlHijrah Online

Leave a Reply