‘FUN FAIR’ PUNCAK ALAM BEROPERASI TANPA KELULUSAN PBT

SHAH ALAM: Taman tema (fun fair) di Bandar Puncak Alam yang berlaku kemalangan malam tadi beroperasi tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor Ng Sze Han berkata, tindakan penguatkuasaan telah diambil MPKS termasuk mengenakan kompaun dan menyita tempat kejadian.

“Kerajaan Selangor memberi amaran kepada operator taman tema dan pemilik tapak agar tidak menjalankan aktiviti taman tema tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan kerana ia melibatkan soal keselamatan orang awam.

“Sebarang pengoperasian taman tema yang masih berjalan tanpa kelulusan PBT mesti dihentikan serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, kerajaan Selangor tidak berkompromi dalam soal yang melibatkan keselamatan dan nyawa orang awam.

Sementara itu, kerajaan Selangor sangat berdukacita dengan kejadian tersebut yang mengakibatkan kecederaan tiga orang mangsa.–AlHijrah Online

Leave a Reply