BASIKAL LAJAK: IBU BAPA PERLU AWASI ANAK

SEREMBAN : Polis hari ini menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak mereka daripada terjebak dalam aktiviti basikal lajak memandangkan cuti persekolahan yang hampir tiba tidak lama lagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Supt Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata ini kerana kegiatan itu merupakan aktiviti yang berbahaya kepada keselamatan pengguna jalan raya selain bagi mengelakkan risiko daripada berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Ibu bapa dinasihatkan untuk memantau anak anak semasa cuti sekolah dan menerangkan tentang bahaya menunggang basikal lajak kerana ada sebahagian dari kemalangan akibat basikal lajak yang tidak dilaporkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata bagaimana pun di Negeri Sembilan, tiada kawasan hot spot kegiatan itu direkodkan setakat ini.

Mana-mana individu yang didapati terlibat dengan kesalahan berkaitan basikal lajak termasuk melakukan aksi yang mengancam nyawa dan pengguna jalan raya yang lain, boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) dan denda maksimum RM2,000.

Bagi pesalah di bawah umur, ibu bapa boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian penjagaan kanak kanak dan boleh dikenakan hukuman denda RM20,000 serta boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun. — BERNAMA

Leave a Reply