
KUALA LUMPUR: Peruntukan RM3.1 bilion bagi hal ehwal Islam menerusi Belanjawan 2027 memberi penekanan kepada kebajikan petugas agama, pemerkasaan pendidikan Islam serta usaha memperluas akses teknologi kepada institusi pondok di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, peningkatan peruntukan daripada RM2.6 bilion pada 2026 mencerminkan kesinambungan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh syiar Islam dengan manfaatnya disalurkan menerusi pelbagai agensi dan kementerian berkaitan.
“Perbelanjaan mengurus sudah pasti yang paling besar iaitu lebih kurang 85.4 peratus dan perbelanjaan pembangunan 14.6 peratus,” katanya ketika menjadi tetamu program 60 Minit Bersama terbitan TV AlHijrah, hari ini.
Beliau menjelaskan, peruntukan berkenaan merangkumi pengurusan 14 agensi di bawah portfolio hal ehwal agama, selain pembiayaan elaun bulanan kepada lebih 70,000 petugas agama termasuk guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal serta petugas masjid yang mencecah hampir RM1 bilion.
Dalam memperkukuh kebajikan golongan berkenaan, kerajaan turut menyediakan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada kira-kira 40,000 petugas agama yang carumannya dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
“Lebih kurang 40,000 petugas agama akan ada caruman PERKESO yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
“Ini menunjukkan bahawa kerajaan sangat prihatin terhadap kebajikan mereka,” katanya.
Pada masa sama, bantuan khas kewangan secara sekali beri kepada kira-kira 70,000 petugas agama turut ditingkatkan daripada RM500 kepada RM750.
Bagi pendidikan Islam pula, kerajaan meneruskan peruntukan RM200 juta bagi penyelenggaraan dan naik taraf sekolah agama rakyat, institusi tahfiz berdaftar serta sekolah pondok pada 2027.
Menurut Zulkifli, usaha penambahbaikan prasarana itu telah membantu lebih 1,600 sekolah sebelum ini, termasuk kerja membaik pulih pendawaian elektrik, bumbung dan siling bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan selesa.
“Tahun ini RM200 juta, tahun depan RM200 juta lagi,” katanya.
Seiring usaha memperkukuh kemudahan asas, pembangunan pendidikan Islam turut diperluas kepada penguasaan teknologi baharu tanpa mengetepikan tradisi keilmuan sedia ada.
Menerusi kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), projek rintis pendigitalan di enam institusi pondok yang memperkenalkan kecerdasan buatan (AI), robotik dan kemahiran digital akan diperluas kepada lebih 300 institusi pondok di seluruh negara.
Langkah itu bertujuan memastikan pelajar institusi pondok bukan sahaja menguasai pengajian turath, malah mempunyai kemahiran kontemporari yang membuka peluang melanjutkan pengajian serta menceburi bidang profesional dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut merancang pelaksanaan projek rintis pada tahun depan bagi meneliti kemungkinan guru KAFA berkhidmat menerusi skim kontrak perkhidmatan (contract of service), berbanding sistem pembayaran elaun ketika ini.
Tambahnya, usaha penambahbaikan berkenaan memerlukan kajian mendalam bagi memastikan pelaksanaannya dapat dibuat secara teratur dan mengambil kira kedudukan kewangan negara. — AlHijrah Online