BEKAS MB TERENGGANU MENINGGAL DUNIA

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad meninggal dunia hari ini di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Berita sedih itu dikongsikan anaknya Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, yang memaklumkan ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.20 pagi.

“Mohon doakan keampunan Allah SWT pada beliau, dipermudahkan perjalanan di alam barzakh dan mendapat ganjaran syurga di akhirat nanti.

“Mohon maafkan segala dosa-dosa beliau, halalkan makan minum dan tuntutlah pada keluarga sekiranya beliau ada hutang dengan tuan-tuan dan puan-puan,”kata Wan Abdul Hakim di laman Facebooknya.

Wan Abdul Hakim memaklumkan solat jenazah akan diadakan di Masjid Bukit Jelutong selepas sembahyang zohor.

Jenazah katanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam selepas itu.

Allahyarham Wan Mokhtar merupakan bekas menteri besar paling lama menyandang jawatan itu iaitu selama 25 tahun bermula 1 September 1974 hingga 29 November 1999. — AlHijrah Online.

Leave a Reply