BEKAS TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN IRAN JALANI HUKUMAN MATI

TEHRAN: Bekas timbalan menteri pertahanan Iran Alireza Akbari menjalani hukuman mati pada pagi Sabtu beberapa hari selepas dijatuhi hukuman itu atas tuduhan mengintip, lapor Agensi Anadolu.

Akbari yang memegang dua kerakyatan Iran-British, dihukum mati atas tuduhan rasuah dan mengancam keselamatan negara.

Bekas pegawai kanan itu didapati bersalah menjalankan pengintipan untuk agensi perisikan British MI6 sebagai pertukaran bagi memperoleh gaji lumayan dalam mata wang asing.

Akbari yang berkhidmat dalam Kabinet bekas Presiden Iran Mohammad Khatami (1997-2005), mengintip  isu berkaitan pertahanan dan hal ehwal peluru berpandu negara itu, sekatan, rundingan nuklear dan isu serantau, menurut kenyataan itu. 

Dia dijatuhi hukuman mati awal minggu ini dan menurut jabatan media kehakiman, Akbari merupakan antara penyeludup terpenting MI6 di “pusat sensitif dan strategik negara. 

Akbari direkrut oleh perkhidmatan MI6 semasa mendapatkan visa daripada Kedutaan British di Tehran dan kemudian menjadi pekerja sepenuh masa agensi itu.–AlHijrah Online

Leave a Reply