JAWATAN PRESIDEN, TIMBALAN PRESIDEN UMNO TIDAK DIPERTANDINGKAN

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Majoriti perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 menyokong agar usul tambahan berkenaan jawatan Presiden, Timbalan Presiden tidak dicabar dalam pemilihan kali ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

“Alhamdulillah setelah dicadang dan dibahas, semua usul yang dibawa oleh perwakilan-perwakilan UMNO dari negeri-negeri di seluruh Malaysia termasuk usul tambahan (supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dikekalkan dan tidak dicabar pada pemilihan tahun ini) telah diterima dan disokong oleh hampir semua perwakilan dalam Dewan Merdeka petang ini,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata menerusi undian yang dijalankan pada 4.52 petang tadi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), mendapati majoriti perwakilan bangun dan mengangkat tangan menyokong usul tersebut.

“Majoriti perwakilan UMNO bangun dan angkat tangan sokong Usul Ucapan Dasar Presiden dengan satu tambahan iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.

“Yang tidak sokong pun diminta berdiri dan angkat tangan, tapi bilangan sangat sedikit,” katanya dalam hantaran di Twitter hari ini.–AlHijrah Online

Leave a Reply