
DUNGUN: Pesanan seorang bapa supaya anaknya rajin belajar dan bersungguh-sungguh dalam sukan hoki menjadi kenangan terakhir sebelum beliau maut dalam nahas membabitkan 13 kenderaan di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Kuantan, awal pagi tadi.
Anaknya, Muhammad Aqiff Amsyar Che Mohd Sufian, 13, berkata bapanya, Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, berpesan supaya dia tekun belajar dan gigih menjalani latihan hoki ketika menghantarnya ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu, minggu lalu.
“Ayah bersungguh-sungguh mengingatkan saya tentang perkara itu sepanjang perjalanan menghantar saya ke asrama SMK Padang Midin.
“Saya tidak menyangka kata-kata ayah saya itu menjadi pesanan terakhir sebelum meninggal dunia dalam kemalangan di LPT malam tadi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Merah, Paka, hari ini.
Muhammad Aqiff berkata, pesanan bapanya itu akan sentiasa dikenang dan dijadikan pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh serta mencapai cita-citanya sebagai pemain hoki.
Beliau turut mengimbau kenangan bapanya yang membeli sebuah motosikal Yamaha RXZ terpakai pada 2024 sebelum membaik pulihnya secara berperingkat, selain pernah membawanya menyertai beberapa konvoi motosikal RXZ bersama rakan-rakan.
“Sebelum ini ayah juga beberapa kali membawa saya menyertai konvoi motosikal RXZ bersama rakan-rakannya ke beberapa lokasi, sekali gus menjadikan kenangan itu antara saat paling bermakna yang akan saya kenang sepanjang hayat,” katanya.
Dalam nahas kira-kira jam 1 pagi itu, empat penunggang motosikal maut selepas kemalangan membabitkan sebuah kereta dan 12 motosikal. Tiga mangsa, termasuk Che Mohd Sufian, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan. — AlHijrah Online.