BERSELAWAT & BERMUNAJAT, INISIATIF JAWI SAMBUT MAULIDUR RASUL 1442H

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengadakan Program Wilayah Persekutuan Berselawat dan Bermunajat pada 28 Oktober, Rabu, selepas solat Maghrib.

Program tersebut akan berlangsung serentak di masjid, surau Jumaat dan surau serta kediaman masing-masing di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menurut kenyataan JAWI, antara pengisian program berkenaan ialah solat hajat dan doa selamat yang akan disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi JAWI, Masjid Wlayah Persekutuan dan masjid-masjid yang lain sekitar Wilayah Persekutuan.

“Program ini dianjurkan bagi menzahirkan kecintaan kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W melalui galakan berselawat sempena Maulidur Rasul SAW 1442H,” ujar kenyataan JAWI.

Selain itu JAWI memaklumkan inisiatif tersebut dilaksanakan bagi menyeru seluruh umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT agar penularan pandemik COVID-19 segera dibendung serta negara Malaysia sentiasa mendapat perlindungan dan kesejahteraan.

Tahun ini sambutan Maulidur Rasul bertemakan ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’. –AlHijrah Online

Leave a Reply