BILAL PARAH DIREMPUH MOTOSIKAL

KUALA NERUS: Seorang bilal Masjid Kampung Banggol Binjai cedera parah setelah dirempuh sebuah motosikal di Kampung Bukit Guntung, Kuala Nerus semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, Jusoh @ Shafie Mamat, 70, yang juga seorang pesara polis cedera di bahagian kepala akibat hentakan.

Sebelum itu, Jusoh dikatakan dalam perjalanan ke kedai di kampung berhampiran dengan menunggang motosikal untuk minum setelah selesai solat dan urusan di masjid.

Kira-kira 100 meter setelah keluar dari satu simpang, mangsa dipercayai ingin membelok ke kanan sebelum dilanggar motosikal yang dinaiki seorang lelaki dari arah belakang.

Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke tengah jalan sebelum dibantu orang awam yang berada berdekatan lokasi kejadian.

Bilal yang parah dan penunggang lelaki yang cedera ringan itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu oleh ambulans untuk rawatan. – AlHijrah Online

Leave a Reply