Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

MASJIDIL HARAM DINYAH CEMAR 10 KALI SEHARI

DALAM NEGARA

MASJIDIL HARAM DINYAH CEMAR 10 KALI SEHARI

Sumber Gambar : AFP

RIYADH: Masjidil Haram di Makkah menjalani operasi nyah cemar dan pembersihan 10 kali sehari bagi menjamin keselamatan jemaah dan pengunjung.

Seramai 4,000 pekerja lelaki dan wanita melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan seliaan 200 kakitangan kanan.

Pada Rabiulawal lalu, sebanyak 300 operasi nyah cemar dijalankan di Masjidil Haram dan kawasan lapangnya menggunakan 2.4 juta liter produk pembasmi kuman dan pembersihan bermutu tinggi.

Berdasarkan laporan Arab News yang memetik laporan Saudi Press Agency (SPA), masjid itu juga disembur 45,000 liter minyak wangi dan 100 wangian pembersih udara digunakan di dalamnya.

Sejumlah 500 perkakas dan peralatan digunakan ketika operasi pembersihan dan setiap operasi mengambil masa 25 minit bagi memastikan jemaah tidak diganggu.

Pada 17 Oktober lalu, kerajaan Arab Saudi melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang membenarkan jemaah menunaikan solat tanpa penjarakan fizikal buat pertama kali sejak tercetusnya pandemik COVID-19.

Kelonggaran juga termasuk membenarkan solat berjemaah dengan kapasiti penuh di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Madinah dengan jemaah dibenarkan beribadah dalam saf rapat.

Kumpulan pekerja juga dilihat menanggalkan penanda di lantai selepas pengumuman dibuat membabitkan kawasan di dalam dan sekitar Masjidil Haram.

Rabu lalu, Kementerian Dalam Negeri memperincikan definisi tempat awam yang dibenarkan masuk dengan dan tanpa pelitup muka.

Sumber kementerian itu, yang dipetik SPA menyatakan bahawa individu yang sudah divaksin sepenuhnya tidak perlu lagi memakai pelitup muka di tempat awam terbuka seperti di taman dan dataran awam serta di ruang kaki lima.

Sementara di tempat awam yang berdinding dan tertutup, walaupun dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan dan masih tertakluk kepada arahan penjarakan fizikal.

Ruangan tertutup ini termasuk stadium, dewan acara yang mampu memuatkan 500 orang ke atas pada satu-satu masa, premis yang tidak dapat disahkan tahap kesihatan pengunjungnya menerusi aplikasi Tawakkalna, koridor dan kawasan terbuka dalam kompleks komersial, di dalam masjid, pasar awam dan premis perniagaan kecil. –AlHijrah Online / Berita Harian


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading