ARAB SAUDI GANTUNG SEMENTARA KEMASUKAN JEMAAH UMRAH KE TANAH SUCI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi mengenakan larangan sementara kemasukan jemaah umrah ke tanah suci berkuatkuasa serta merta bagi membendung penularan Covid-19.

Kementerian Luar Arab Saudi dalam kenyataan awal pagi tadi waktu Malaysia berkata, langkah pencegahan itu sejajar dengan usaha Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menangani penularan wabak penyakit itu.

Penggantungan sementara itu turut membabitkan pengeluaran visa pelancong ke Arab Saudi.

“Bagaimanapun, pengecualian (keluar masuk) diberikan kepada warga Arab Saudi yang berada di luar negara atau warga negara GCC (Majlis Kerjasama Teluk) yang ingin pulang ke negara mereka,” kata kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi.

Arab Saudi juga tidak menyatakan secara jelas mengenai tempoh larangan sementara ke tanah suci itu.

Timbalan Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun KC Ahmmu dalam reaksi segera berkata, pihaknya melihat penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah ke tanah suci itu langkah proaktif membendung penularan Covid-19 dalam kalangan umat Islam.

“Kita akan menunggu arahan dari Arab Saudi dari semasa ke semasa berhubung penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah ini,” katanya dihubungi AlHijrah Online hari ini.

Harun turut menasihatkan syarikat dan ejen pelancongan untuk menghubungi jemaah umrah terjejas supaya tidak panik dan bimbang serta berunding dengan syarikat penerbangan berhubung larangan sementara itu. — AlHijrah Online/Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply