COVID-19 BOLEH DIKAWAL DAN DIUBATI: MENTERI LUAR CHINA

Last Updated on

VIENTIANE: Penularan wabak COVID-19 yang telah meragut sejumlah 2,188 nyawa dan mencetuskan panik di seluruh dunia, boleh dikawal dan diubati, kata Menteri Luar China Wang Yi. 

Bercakap di Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China mengenai Penyakit Koronavirus di sini hari ini, beliau berkata statistik menunjukkan terdapat penurunan mendadak dalam kes baharu virus itu di China, yang menyaksikan jumlah jangkitan COVID-19 telah merosot selama 15 hari berturut-turut manakala lebih 14,000 pesakit telah dibenarkan keluar dari hospital.

“Ini menunjukkan wabak itu boleh dikawal dan diubati. China yakin akan meraih kejayaan dalam perjuangan menentang penularan wabak COVID-19,” katanya. 

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa China gagal menangani penularan wabak itu dengan baik.

China bukan sekadar melindungi rakyatnya tetapi juga orang lain di seluruh dunia,” katanya.

Mesyuarat khas itu diadakan untuk bertukar-tukar pandangan dan meneroka langkah serta kaedah baharu dalam menangani penularan wabak COVID-19 di rantau ini.

Mesyuarat serupa telah diadakan susulan penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003.

Pada mesyuarat itu, sebuah video telah dipertontonkan yang menunjukkan sokongan negara anggota ASEAN kepada China dalam memerangi virus berbahaya tersebut.

Para hadirin turut melaungkan ‘Stay strong Wuhan. Stay strong China. Stay strong ASEAN” di penghujung video itu.

Wang turut menzahirkan penghargaannya kepada rakan-rakan ASEAN yang telah menyokong dan berdiri bersama-sama China sejak penularan wabak itu. — BERNAMA

Leave a Reply