COVID-19: JUMLAH KES AKTIF BAWAH 200

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Angka kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia kini di bawah 200 kes, pertama kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memaklumkan hanya 191 kes aktif di negara ini selepas tambahan 6 kes positif baharu yang dilaporkan hari ini.

“Sehingga 26 Jun 2020 jam 12 tengah hari terdapat enam kes baharu dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,606 kes.

“Jumlah kes aktif dengan keboleh jangkitan adalah kurang daripada 200 iaitu 191 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital,” kata Dr Noor Hisham dalam sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 23 lagi kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh 8,294 bersamaan 96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tiada kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan angka keseluruhan korban COVID-19 di Malaysia kekal 121 kes. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply