COVID-19: KEMATIAN DI CHINA CECAH 3,072

BEIJING: Angka kematian di China akibat koronavirus mencecah 3,072 kes hari ini, demikian menurut Suruhanjaya Kesihatan Negara.

Pihak berkuasa di China itu berkata 28 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu sementara 99 kes baharu dikesan dengan jumlah kes jangkitan mencecah 80,651.

Agensi berita Anadolu melaporkan sekurang-kurangnya 22,177 individu kini di bawah penjagaan kesihatan dan mereka yang didiscaj kekal pada 55,404 kes.

Sebelum ini, pihak berkuasa memaklumkan 16 hospital sementara di wilayah Hubei, yang juga pusat penularan wabak, akan ditutup secara berperingkat ekoran kekurangan kapasiti.

Pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember lalu, virus yang dikenali sebagai COVID-19, kini menular di 80 negara.

Jumlah kematian global kini menghampiri 3,500 dengan kira-kira 100,000 kes jangkitan direkodkan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebagai langkah membendung penularan virus itu, beberapa negara menutup pintu sempadan dan menggantung perjalanan darat dan udara dari negara terjejas seperti China, Iran dan Itali.

WHO sebelum ini mengisytiharkan penularan wabak itu sebagai kecemasan global telah meningkatkan tahap amaran kepada “amat tinggi”. – Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply