GENCATAN SENJATA DI IDLIB DICAPAI

Last Updated on

Foto ANADOLU

ANKARA: Gencatan senjata dicapai di barat laut Syria di Idlib awal pagi ini susulan pertemuan antara pemimpin Turki dan Rusia di Moscow, demikian laporan agensi berita Anadolu.

Menurut protokol dipersetujui antara Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin, gencatan senjata itu bermula jam 00:01 pada Mac 6 (hari ini).

Di bawah protokol itu, Turki dan Rusia sebagai negara penjamin akan bertindak sebagai pemerhati gencatan senjata dan merujuk semula kepada pembentukan zon de-ekskalasi di Syria pada 4 Mei 2017 dan memorandum mengenai kestabilan di zon de-ekskalasi Idlib pada 17 September 2018.

Semasa mesyuarat semalam, kedua-dua negara mengulangi komitmen penuh terhadap kedaulatan, kebebasan, kesatuan dan integriti wilayah Syria.

Mereka juga “menegaskan kesungguhan untuk memerangi sebarang bentuk keganasan dan menghapuskan semua kumpulan pengganas di Syria seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, selain bersetuju bahawa menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam tidak boleh diterima dalam sebarang keadaan”.

Koridor keselamatan sejauh enam kilometer ke utara dan enam kilometer ke selatan Idlib dari Lebuhraya M4 akan diwujudkan, demikian menurut protokol itu.

“Garis ukur khusus bagi membolehkan koridor keselamatan itu berfungsi akan dipersetujui antara menteri pertahanan Turki dan Rusia dalam tempoh tujuh hari,” kata protokol itu.

Rondaan bersama Turki-Rusia akan bermula pada 15 Mac depan di sepanjang Lebuhraya M4 dari penempatan di Trumba, dua kilometer ke barat Saraqeb, hingga ke penempatan Ain-Al-Havr, kata protocol itu.

Susulan mesyuarat di Moscow itu, Erdogan dilaporkan pulang ke Turki. – Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply