COVID-19: TIADA PILIH KASIH LANGGAR SOP –POLIS

KUALA LUMPUR: Tiada isu pilih kasih terhadap mereka yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan kerajaan walaupun ia melibatkan golongan atasan termasuk artis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata polis memberi jaminan tindakan akan turut diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar SOP.

Bagi majlis perkahwinan artis terkenal Noor Neelofa Mohd Noor, 32 dengan pelakon dan pendakwah, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, pada Sabtu lalu, Mohamad Zaina berkata tindakan akan diambil selepas siasatan selesai.

“Kita dah panggil mereka dan dijangka pada hari ini mereka akan datang termasuk pengurus acara yang menganjurkan majlis tersebut.

“Kita dimaklumkan mengenai pelanggaran SOP melalui penularan gambar dan kita perlu siasat kesahihan gambar yang tular.

“Siasatan perlu dilakukan dahulu untuk mengenal pasti individu yang terlibat tapi jangan khuatir kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada media selepas mengetuai Ops Sarang di Kuala Lumpur pagi tadi.

Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata, jika polis berada di lokasi kejadian, tindakan kompaun boleh dikeluarkan terus kepada mereka yang melanggar SOP.

Katanya pegawai keselamatan hotel lokasi majlis berlangsung telah dipanggil untuk memberi keterangan semalam dan kertas siasatan juga telah dibuka mengikut Seksyen 21a Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Polis semalam memaklumkan kertas siasatan mengenai majlis perkahwinan artis terkenal itu dibuka selepas mendapati majlis perkahwinan yang berlangsung gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal. – AlHijrah Online

Leave a Reply