MUNAQASYAH KEDUA ISU KALIMAH ALLAH DUA MINGGU LAGI

KUALA PERLIS: Perbincangan kedua berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ akan diadakan dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi, melibatkan pakar panel akidah dan undang-undang daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Lapor BERNAMA, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, munaqasyah (perbincangan khas) yang diadakan adalah dari sudut perundangan dan memperkasakan apa juga fatwa berkaitan kalimah ‘Allah’.

Tambahnya, hasil munaqasyah pertama berkaitan isu tersebut sudah dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja pada 17 Mac lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan pada 10 Mac lepas, penganut agama Kristian seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ termasuk tiga perkataan Arab (Baitullah; Kaabah; Solat) dalam penerbitan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 15 Mac lepas.—AlHijrah Online

Leave a Reply