MAJLIS PERTUNANGAN BERTUKAR TRAGEDI KEBAKARAN

Sumber Gambar: Awam

BATU PAHAT: Sebuah majlis pertunangan bertukar tragedi selepas rumah lokasi majlis diadakan hangus dijilat api di Kampung Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong, semalam.

Kebakaran berlaku kira-kira jam 1.20 petang semalam, yang mengakibatkan barang hantaran pertunangan dan harta benda rumah terbabit musnah.

Kejadian dipercayai berlaku akibat litar pintas di bahagian dalam rumah tersebut, yang menyebabkan api merebak pantas berikutan struktur rumah diperbuat daripada separa batu dan kayu.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan yang melibatkan kira-kira 100 ahli keluarga mangsa kerana sempat menyelamatkan diri terlebih dahulu.

Jurugambar majlis pertunangan tersebut, Izzat Syafaat Ismail, 29, menjadi saksi kejadian kebakaran yang berlaku sejam sebelum majlis pertunangan itu berlangsung.

“Keadaan menjadi kelam-kabut sehinggakan ahli keluarga pasangan itu tidak sempat menyelamatkan barang-barang hantaran pertunangan termasuk pakaian, peralatan elektrik serta dokumen-dokumen penting di dalam rumah.

“Ada antara ahli keluarga yang pengsan dan cedera melecur kerana nekad mahu menyelamatkan kenderaan yang berhampiran selain cedera kerana terpijak kaca,” katanya.

Sumber Gambar: Sinar Harian

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, PKPgB Mohd Fauzi Mohd Nor berkata kebakaran memusnahkan hampir 80 peratus rumah tersebut serta sebuah motosikal.

“Sebanyak 22 anggota bomba berserta tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digegaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 1.18 petang.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada 3.34 petang,” katanya.

Bagaimanapun, majlis pertunangan tetap diteruskan dalam keadaan sederhana di rumah saudaranya yang terletak bersebelahan rumah pusaka berusia 100 tahun yang hangus terbakar.–AlHijrah Online

Leave a Reply