UNDI 18: BERI MASA KEPADA SPR

PENDANG: Pelaksanaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun perlu melalui pelbagai prosedur sebelum perkara tersebut boleh dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata semua pihak perlu memberi masa dan ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melaksanakan perkara berkenaan.

“Bukan mudah untuk laksanakan ‘Undi 18’ (undi pada usia 18 tahun), banyak perkara yang perlu diambil kira, antara masalah SPR adalah alamat tidak lengkap yang perlu dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Berdasarkan alamat dalam kad pengenalan, SPR akan tentukan di mana pengundi akan mengundi untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen mana,” katanya.

Tambahnya, SPR merupakan satu badan bebas yang tidak terikat dengan pihak kerajaan, setiap keputusan yang dibuat tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Takiyuddin juga berkata ketika cadangan ‘Undi 18’ mula dibangkitkan, pada masa itu tempoh mengundi masih jauh dan SPR mungkin menjangkakan mereka ada masa yang cukup untuk melaksanakan perkara tersebut.

Beliau juga menegaskan kerajaan tidak menentang cadangan ‘Undi 18’ seperti yang pernah dimaklumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh menyatakan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September, tahun depan.—AlHijrah Online

Leave a Reply