CUACA PANAS: WARGA EMAS MANGSA PERTAMA KELESUAN HABA DI SABAH

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas menjadi mangsa pertama kes kelesuan haba susulan cuaca panas di Sabah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, lelaki berusia 61 tahun yang bekerja sebagai juruelektrik itu telah dimasukkan ke wad pada 17 Mei lalu dan dibenarkan keluar pada 18 Mei selepas mendapatkan rawatan untuk kelesuan haba.

“Kes ini dirawat di sebuah hospital swasta. Gejala kelesuan haba adalah sakit kepala, pening, rasa mual, muntah, kelesuan, kekejangan otot dan suhu badan meningkat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain kes tersebut tiga lagi masalah kesihatan strok haba akibat cuaca panas direkodkan di Sabah setakat 18 Mei 2023.

Tiga kes itu sudah sembuh selepas menerima rawatan di hospital.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menyeru agar masyarakat terus mengamalkan langkah untuk mengelakkan dehidrasi.

“Antara langkah itu termasuk meminum banyak air kosong, memendekkan tempoh aktiviti di luar rumah, berehat di tempat yang sejuk dan mempunyai pengudaraan yang baik serta mengelakkan pakaian yang memerangkap haba.

“Segeralah berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda awal penyakit berkaitan cuaca panas,” katanya lagi.

Nasihat kesihatan bagi krisis ini juga boleh diperolehi daripada Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia di laman sesawang http://www.myhealth.gov.my, katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply