DISKAUN 50 PERATUS PEMBAYARAN KOMPAUN DALAM TUJUH HARI

Sumber Gambar: MalayMail

PUTRAJAYA: Nilai kompaun yang dikenakan akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh mendapat potongan 50 peratus jika membayarnya dalam masa tujuh hari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berkata, individu yang ingin membayar dalam tempoh 14 hari dari tarikh disaman boleh mendapat 25 peratus daripada jumlah kompaun.

Tiada tawaran diskaun akan diberikan jika kompaun tidak dibayar dalam tempoh dua minggu.

“Jangan bimbang, takperlu pakai peguam, kerajaan sudah membuat panduan yang jelas.

“Jika masih ada yang tidak berpuas hati, isi borang dan pergi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk berjumpa dengan pegawai bagi proses rayuan,” katanya dalam sidang media.

Takiyuddin memaklumkan golongan orang kurang upaya dan miskin boleh membuat rayuan untuk pembayaran kompaun, termasuk golongan pelajar Institusi Pengajian Tinggi, B40 serta penghidap penyakit kronik.

Beliau juga hari ini menjelaskan kadar kompaun dikenakan berdasarkan tiga kategori kesalahan di bawah Akta 342 Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang menyaksikan denda maksimum RM10,000 untuk individu dan maksimum RM50,000 untuk syarikat.

Tiga kategori itu ialah tinggi, sederhana dan nomal.

Bagi individu yang melakukan kesalahan kategori normal berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan COVID-19, hanya akan dikenakan kompaun RM1,500.

Kesalahan kategori normal meliputi tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan fizikal dan tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau merekod butiran diri ketika memasuki premis.—AlHijrah Online

Leave a Reply