DOKTOR KKM MENINGGAL DUNIA, KES MAUT KESEMBILAN COVID-19

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Seorang doktor perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi kes kesembilan yang maut akibat wabak COVID-19 di negara ini.

Berita menyedihkan itu diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam posting terkini beliau di Facebook sebentar tadi.

“Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

“Pelaporan terbaru ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak sembilan setakat ini.

“Kes kematian kesembilan adalah merupakan kes kematian pertama dalam kalangan kakitangan kesihatan melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia (kes ke-890) berusia 48 tahun yang merupakan seorang doktor perubatan KKM,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke negera Turki.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar 17 Mac lalu setelah mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection.

“Beliau telah disahkan positif COVID-19 pada 18 Mac 2020 dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac 2020 setelah keadaan kesihatan beliau merudum sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.33 pagi, 22 Mac 2020,” kata Ketua Pengarah Kesihatan.

Dr Noor Hisham berkata kes jangkitan COVID-19 ini disyaki bukan dari kalangan barisan hadapan (frontliners) mahupun daripada kalangan rakan kerja (working colleague) yang berhadapan dengan pesakit COVID-19.

“Ianya adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara,” katanya sambil menyatakan seluruh warga KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply