SHAH ALAM: Dua orang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam parit, di Jalan Cili Merah 24/ 26 Seksyen 24, di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7:19 petang tadi sebelum mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.
“Terdapat dua orang mangsa terdiri daripada kanak-kanak lelaki berumur lingkungan 9 dan 12 tahun telah terjatuh ke dalam parit.
“Kedua-dua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa yang terlibat merupakan Che Syazwan Irwan Shah, 12 tahun manakala Ashidayan Arijanto, 9 tahun.
Katanya kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Operasi menyelamat tamat pada jam 8:08 malam.—AlHijrah Online