DUA LELAKI DIDAKWA BERKELAKUAN SUMBANG ADALAH ADIK BERADIK – POLIS

KUALA LANGAT: Dua lelaki yang didakwa melakukan perbuatan sumbang di sebuah surau di Banting baru-baru ini tampil menjelaskan bahawa mereka merupakan adik-beradik.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, mereka yang masing-masing berusia 21 dan 14 tahun berasal dari Seremban, Negeri Sembilan berkunjung ke Banting bersama keluarganya untuk bercuti.

“Kedua individu berkenaan datang ke Banting bersama ibu bapa serta seorang adik perempuan untuk bercuti dan makan di sebuah restoran di pekan Banting dan singgah di sebuah surau di pekan Banting untuk menunaikan solat.

“Selepas selesai solat, kedua adik-beradik itu bergurau di dalam surau tanpa menyedari perbuatan mereka dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, abangnya ingin bergurau dengan adiknya serta membetulkan seluar dan menjelaskan tiada sebarang niat untuk berkelakukan tidak senonoh di dalam surau itu.

Keterangan kedua pelaku serta ibu bapa mereka sudah diambil dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi arahan lanjut, katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply