DUA LELAKI MAUT, MOTOSIKAL REMPUH BELAKANG LORI

SARATOK: Dua lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang lori di Jalan Pasar Maludam, malam tadi.

Dilaporkan mangsa yang dikenali sebagai Peng Billy berusia 27 tahun disahkan maut tempat kejadian oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan (KKM).

Manakala rakannya, Syahzuwan Abdul Rasid, 18, telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Maludam.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 8.10 malam.

“Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati bahawa seorang mangsa telah terperosok di bahagian bawah lori terbabit.

“Pasukan bomba menggunakan ‘scoop stretcher’ untuk mengeluarkan mangsa dari bahagian bawah lori berkenaan,” katanya.

Selepas itu mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. –AlHijrah Online

Leave a Reply