Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

DUA RUU HAL EHWAL AGAMA ISLAM DILULUSKAN DI DEWAN RAKYAT

DALAM NEGARA

DUA RUU HAL EHWAL AGAMA ISLAM DILULUSKAN DI DEWAN RAKYAT

KUALA LUMPUR: Dua Rang Undang-Undang (RUU) melibatkan hal ehwal agama Islam diluluskan di Dewan Rakyat hari ini selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

RUU tersebut adalah RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Ia adalah pindaan kepada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505]. 

Dalam pembentangannya di Dewan Rakyat hari ini, Zulkifli memaklumkan, RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 yang dicadangkan untuk memasukkan tatacara yang jelas berkaitan dengan pengendalian kes mal melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 pula mengandungi peruntukan berkaitan penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam, penubuhan dan organisasi mahkamah-mahkamah syariah dan perkara yang berkaitan dengannya.

Akta terbabit turut memperuntukkan peranan dan tanggungjawab pelbagai agensi agama di Wilayah Persekutuan, iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Zulkifli berkata, walaupun Akta 505 sudah dipinda beberapa kali, terdapat peruntukan lain yang memerlukan pindaan selaras perkembangan semasa bagi memperkemas tadbir urus hal ehwal agama Islam di Wilayah Persekutuan.

Katanya, langkah melaksanakan pindaan juga bertujuan memastikan tadbir urus dan operasi agensi agama dapat berjalan dengan lebih baik dan lancar.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading