EBIT LEW SELAMAT TIBA DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Pendakwah Ebit Lew selamat tiba di Malaysia selepas misinya ke Gaza, Palestin untuk memberi bantuan selesai.
Menurut Ebit, pasukannya akan menjalani tempoh kuarantin di tempat yang akan ditentukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan beliau serta kumpulannya sewaktu misi tersebut berlangsung.
“Terima kasih semua yang selalu mendoakan. Allah sahaja yang membalasnya. Jika ada kebaikan atas yang kami buat berkat doa semua.
“Kami sedang menjalani kuarantin di tempat yang ditentukan KKM. Terima kasih DS Hishammuddin Hussein dan Wisma Putra serta Kedutaan Besar Malaysia di Mesir,” menerusi hantarannya di Facebook.
Sebelum ini, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew telah berlepas ke Mesir pada 25 Mei lalu sebelum memasuki Gaza bagi menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.

Bagaimanapun, Ebit dan pasukannya terpaksa menunggu hampir sebulan di Kaherah, Mesir sebelum mendapat kebenaran masuk ke Palestin.
Menurut kedutaan Malaysia dan Unit Perisikan Tentera Mesir, kumpulan Ebit Lew merupakan yang pertama dalam dunia yang dibenarkan masuk melalui Pintu Rafah selepas perang Israel-Palestin, baru-baru ini.

Hasil dari usaha yang dilakukan Ebit, beliau telah dianugerahkan Duta Muhibbah Palestine (Palestine Goodwill Ambassador) oleh kerajaan Palestin.—AlHijrah Online