
PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia terus menunjukkan momentum positif apabila berkembang 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, sekali gus membawa pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama tahun ini kepada 5.6 peratus.
Pencapaian itu lebih tinggi berbanding pertumbuhan 4.8 peratus yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu dan meletakkan negara di landasan mencatat pertumbuhan melebihi 5 peratus untuk tahun ketiga berturut-turut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daya tahan ekonomi negara diperkukuh menerusi langkah kerajaan menangani ketidaktentuan luar termasuk memastikan kestabilan ekonomi dan bekalan bahan api ketika krisis Asia Barat.
“Tindakan berani kerajaan dalam menghadapi krisis Asia Barat yang didukung oleh reformasi dilaksanakan di bawah Ekonomi Madani telah memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
“Walhasil, Malaysia berjaya mencatat antara prestasi ekonomi terbaik di rantau ini kendatipun dunia digasak pelbagai pancaroba,” katanya dalam kenyataan.
Prestasi ekonomi negara turut disokong oleh permintaan domestik yang meningkat 4.8 peratus, manakala sektor perdagangan luar menunjukkan perkembangan lebih ketara.
Eksport melonjak 46 peratus pada suku ketiga, didorong permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik yang berkembang 6.2 peratus selari dengan pertumbuhan industri teknologi global.
Malaysia turut mencatat rekod baharu pada September apabila nilai eksport bulanan mencecah RM215.1 bilion, sekali gus melepasi paras RM200 bilion buat pertama kali.
Dalam perkembangan berkaitan, pasaran buruh terus menunjukkan peningkatan apabila kadar pengangguran turun kepada 2.9 peratus pada September berbanding 3 peratus dalam bulan sama tahun lalu.
Inflasi pula kekal terkawal pada kadar 1.8 peratus.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, prestasi ekonomi yang baik perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat dan tidak seharusnya dilihat melalui angka semata-mata.
“Melalui Belanjawan 2027, kerajaan memperkukuh bantuan, mengurangkan kadar cukai pendapatan individu bagi golongan layak serta menambah baik perkhidmatan awam.
“Kita tidak akan lelah memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup dan peluang yang lebih luas untuk rakyat,” katanya.
Kementerian Kewangan pula berkata kerajaan kekal optimis terhadap prospek ekonomi menjelang 2027, namun terus mengambil kira risiko daripada ketegangan geopolitik dan perubahan iklim.
“Belanjawan 2027 meneruskan usaha Belanjawan Madani terdahulu untuk menaikkan siling melalui pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, peningkatan pelaburan dan pembangunan prasarana selain mengekalkan disiplin fiskal,” menurut kementerian itu. — AlHijrah Online