KUALA LUMPUR: Masyarakat diingatkan untuk tidak sesekali menormalisasikan gangguan seksual sama ada secara lisan atau bukan lisan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Katanya, pihaknya memandang serius tentang pendedahan oleh pempengaruh ‘Mek Yun’ mengenai penyebaran gambarnya ketika masih bersekolah dalam ‘group’ Facebook yang didakwa mempromosikan kandungan tidak bermoral melibatkan kanak-kanak.
Lebih mengejutkan Mohd Na’im, terdapat pengakuan terbuka daripada seorang ahli kumpulan tersebut yang mendakwa telah melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak.
“Ini adalah satu bentuk jenayah yang sangat keji dan menjijikkan, yang bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga batas-batas kemanusiaan serta nilai moral masyarakat.
“Perlindungan terhadap kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama yang wajib dipikul oleh setiap lapisan masyarakat.
“Justeru, saya menyeru agar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu-individu terbabit, termasuk pentadbir kumpulan media sosial tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd Na’im, perbuatan itu tidak boleh dibiarkan berleluasa dan perlu dihentikan serta-merta selain tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang bentuk gangguan seksual yang melibatkan kanak-kanak.
Dalam pada itu, Mohd Na’im menasihatkan orang dewasa untuk menjaga adab dan pertuturan terhadap kanak-kanak, sama ada secara bersemuka mahupun di alam maya.
Penggunaan bahasa yang kotor, jijik dan berunsur seksual terhadap kanak-kanak adalah perbuatan yang sangat tidak bermoral dan boleh memberi kesan psikologi yang mendalam kepada mangsa, katanya.
“Kanak-kanak termasuk dalam kategori lemah yang wajib dilindungi dan dihormati hak mereka, bukannya dieksploitasi atau menjadi mangsa kerakusan hawa nafsu yang hina.
“Saya turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau penggunaan media sosial anak-anak serta mendidik mereka tentang keselamatan digital.
“Dalam masa yang sama, pihak berwajib perlu memperhebatkan usaha memperkasa undang-undang dan mekanisme pemantauan terhadap jenayah seksual dalam talian,” katanya.
Kerajaan MADANI komited untuk memastikan keselamatan anak-anak dan remaja sebagai amanah yang mesti dipertahankan, ujar Mohd Na’im.—AlHijrah Online