IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menggantung sementara tugas empat khatib yang juga imam masjid di negeri berkenaan kerana disyaki menyampaikan khutbah Jumaat yang tidak disediakan jabatan itu pada 31 Jan lepas.
Timbalan Pengarah JAIPk Zakaria Abd Razak berkata empat khatib terbabit adalah imam masjid yang bertugas masing-masing seorang di Parit Buntar dan Kuala Kangsar, serta dua di Teluk Intan.
Beliau berkata surat penggantungan sementara tugas sebagai imam masjid itu telah dikeluarkan JAIPk pada 6 Feb lepas, termasuk menahan imbuhan mereka.
“Tempohnya (penggantungan sementara tugas berkuat kuasa) kita bergantung kepada tarikh jawatankuasa tatatertib bersidang, kita jangka dua minggu lagi.
“Jadi kemungkinan awal Ramadan, jawatankuasa bersidang untuk memutuskan sama ada akan ditamatkan atau tindakan tatatertib yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di sini hari ini.
Zakaria berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib JAIPk yang akan memutuskan sebarang tindakan terhadap seorang khatib yang didakwa membacakan teks khutbah Jumaat yang disediakan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) pada 31 Jan lepas.
“Antara alasan yang diberikan khatib terbabit adalah faktor teknikal seperti komputer gagal berfungsi ketika mahu mendapatkan khutbah disediakan JAIPk pada minggu berkenaan.
“Khutbah yang dibaca khatib terbabit pada minggu berkenaan berdasarkan aduan yang diterima adalah khutbah yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pihak berkuasa agama negeri Kedah dan Pulau Pinang serta teks khutbah JAIPk tahun 2023,” katanya.
Pada masa sama, Zakaria berkata Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengambil maklum terhadap perkara itu dan menitahkan supaya tindakan tegas diambil.
Sebelum ini, polis menyerahkan siasatan kes khatib tidak membacakan khutbah Jumaat disediakan pihak berkuasa agama negeri kepada JAIPk untuk siasatan lanjut. –AlHijrah Online