EPU AKAN SEMAK SEMULA PENJUALAN ANAK SYARIKAT TH PLANTATION – AHMAD MARZUK

KUALA LUMPUR: Penjualan 14 anak syarikat oleh TH Plantation Berhad (THP) masih belum dimuktamadkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara itu sedang dipertimbangkan sama ada akan memberi faedah kepada anak syarikat Lembaga Tabung Haji tersebut atau tidak.

“Penjualan Bumi Suria Ventures dan Maju Warisanmas Sdn Bhd sedang menunggu kelulusan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) sama ada harga jualan itu mengikut harga pasaran atau tidak dan sama ada ia memberi impak kepada perancangan jangka panjang dan keuntungan TH Plantation,” katanya.

Tambahnya, keyakinan pelabur meningkat sejak Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran negara Februari lalu selain harga sawit mentah dilihat sedang pulih.

Ini disebabkan hubungan antarabangsa terutama India dan China yang semakin baik.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan oleh Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang) berhubung justifikasi penjualan aset oleh TH Plantation di Dewan Rakyat.

Keputusan untuk menjual 14 buah anak syarikat THP yang memiliki 76.2% daripada jumlah keseluruhan ladang milik anak syarikat TH Plantations telah dibuat oleh kerajaan dahulu di bawah Pakatan Harapan pada Ogos 2019. — AlHijrah Online / Abdul Hakim Hasan.

Leave a Reply