WANITA LANGGAR KUARANTIN DIKESAN POSITIF COVID-19

IPOH: Wanita yang tular melanggar perintah kuarantin dengan makan di sebuah restoran di Meru Raya telah dikenal pasti dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Menurut sumber, wanita berusia 72 tahun itu didapati positif COVID-19 melalui saringan kedua selepas 13 hari menjalani kuarantin dan telah telah dimasukkan ke hospital sejak 17 Julai lalu.

Ujarnya, wanita itu kini masih dalam rawatan COVID-19 di hospital terbabit bersama anak lelakinya setelah ujian kali kedua didapati positif.

“Dia telah diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Julai lalu. Saringan pertama yang dijalankan mendapati wanita tersebut negatif, namun dipakaikan gelang tersebut serta diperintahkan menjalani kuarantin.

“Kejadian itu pula berlaku di sebuah kafe pada 6 Julai lalu bersama keluarganya setelah tiba dari Selangor untuk sarapan sebelum menjalani kuarantin di rumahnya sedangkan gambar itu baharu sahaja tular kelmarin,” katanya.

Ujarnya, berdasarkan penjelasan daripada pihak kesihatan, jumlah atau kandungan virus dalam badan wanita terbabit adalah kurang dan risiko menjangkiti juga kurang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan perkara itu.

Ujar A. Asmadi, siasatan dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada masa sama, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh wanita berkenaan.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi SOP memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berjalan dan kes Covid-19 juga masih bertambah di negara ini. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply