SUAMI YOUTUBER MASAKAN TERKENAL DIREMAN TIGA HARI CEDERAKAN ISTERI

IPOH: Suami kepada Youtuber masakan terkenal dikenakan tahanan reman tiga hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Ipoh bagi membantu siasatan dakwaan mencederakan isterinya.

Perintah reman terhadap suspek berusia 29 tahun tersebut dikeluarkan Majistret Nabihah Mohd Noor mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.

Semalam, suami yang juga pasangan Youtuber sensasi ditahan polis kerana disyaki mencederakan isterinya menggunakan senjata berbahaya dalam satu kejadian di pekarangan luar wad bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.54 petang itu, suspek yang dalam keadaan mabuk telah membawa senjata sabit ke hospital mencari isteri dan adik iparnya berkaitan satu masalah keluarga.

Ia dipercayai berlaku selepas mangsa tidak menyebut nama suaminya ketika menerima satu anugerah dalam satu majlis di Ipoh baru-baru ini.

Perselisihan terbabit berlanjutan sehingga suspek datang ke hospital dan dalam keadaan marah telah memukul isterinya berusia 28 tahun di pekarangan hospital berkenaan.

 Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

 “Siasatan lanjut sedang dijalankan dan siasatan awal mendapati kes berpunca daripada perselisihan faham ahli keluarga,” katanya.

Tangkapan ke atas suspek dilakukan petang semalam di lokasi kejadian mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan serta Seksyen 506 akta yang sama atas kesalahan ugutan jenayah. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid.

Leave a Reply