ESSCOM BERI KEYAKINAN KEPADA PENDUDUK SELEPAS TRAGEDI PENCEROBOHAN

LAHAD DATU: Selepas sembilan tahun penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), penduduk di Timur Sabah terutama di Lahad Datu dan Semporna seperti sudah lali atau terbiasa dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Rondaan kerap dilakukan pasukan keselamatan sama ada di darat dan laut meyakinkan penduduk untuk keluar mencari rezeki meskipun pada lewat malam.

Dalam ketenangan itu muncul pula tuntutan daripada waris Sultan Sulu terhadap Sabah lagi.

Satu tuntutan yang dianggap akan diperbaharui setiap tahun selagi Sabah tidak menjadi milik mereka.

Ia bertitik tolak dengan dakwaan Malaysia tidak membayar wang pemisah sejak 2013 (pampasan) berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 dan oleh itu dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Dr Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.

Pada 11 Julai lalu, peguam pihak yang menuntut itu dilaporkan merampas aset PETRONAS yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

Bagaimanapun, PETRONAS dalam kenyataannya memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.

Tuntutan itu tentunya membimbangkan penduduk Sabah, terutamanya di Pantai Timur.

Dalam kebimbangan itu ada juga suara-suara yang menyatakan kehadiran anggota ESSCOM tidak lagi diperlukan kerana tiada pertumpahan darah berlaku lagi.

Bagi mendapatkan kepastian, saya sendiri turun padang ke Lahad Datu dan Semporna untuk mendengar, melihat dan memerhati kawasan yang pernah saya kunjungi ketika pencerobohan tentera bersenjata Sulu pada 2013.

Pada hari pertama saya berkunjung ke sebuah arked pakaian Lahad Datu mendapati peniaga mahu anggota ESSCOM terus ditugaskan melindungi dan menjaga keamanan dan kesejahteraan penduduk.

Peniaga Nadia Mat Kasani yang ditemui berkata keadaan ketika ini lebih aman.

“Sekarang lebih aman, ESSCOM dijaga ATM, PGA dan PDRM . Keselamatan lebih terjamin daripada dahulu berbanding ketika pencerobohan Tentera Bersenjata Sulu,” katanya.

Perkara itu disokong oleh seorang lagi peniaga Rabiah Latif yang telah mencari rezeki di situ lebih 20 tahun.

“Alhamdulilah dengan adanya ESSCOM keadaan di Lahad Datu lebih selamat. Ketika pencerobohan 2013, keadaan agak tegang. Namun apabila ada anggota ESSCOM kami berasa keselamatan lebih terjamin.Sejak kehadiran mereka tiada kejadian buruk berlaku,” katanya.

Seorang peniaga buah-buahan Benalin Saripon berkata tidak kedengaran lagi sebarang kekacauan besar berlaku selepas anggota ESSCOM ditempatkan di sekitar kawasan mereka berniaga.

“Dulu selalu ada kekacauan, sekarang aman sikit. Tidak dengar lagi sebarang kekacauan sehingga menjejaskan periuk nasi peniaga. Dulu memang tidak terkawal,” katanya.

Kehadiran anggota ESSCOM bukan sahaja melindungi dan mengawal keselamatan penduduk tempatan dari anasir tidak baik, malah peniaga asing yang menumpang mencari rezeki juga mengakuinya.

Nanang Ibnu yang meniaga cili dan limau kasturi hasil penduduk tempatan berkata sebelum ini dia sering dikacau oleh pihak tertentu sebelum kehadiran anggota ESSCOM.

“Sekarang ok sudah, sebelum ini susah sikit, meniaga pun susah. Sebelum ada ESSCOM kami sering berlari, ada kala tidak sempat menyelamatkan barang perniagaan. Kehadiran ESSCOM mengentarkan pihak yang mahu mengambil kesempatan,” katanya.

Pemilik Restoran Auliah yang terkenal di Lahad Datu, Abdul Salam Kassim yang telah menjalankan perniagaan sejak lebih 20 tahun lalu berkata pada 2013 ketika kejadian pencerobohan banyak pelabur yang menarik balik pelaburan mereka di situ.

Namun, kini sosio-ekonomi bertambah baik.

“Waktu insiden itu berlaku, rata-rata  penduduk Lahad Datu dan para peniaga telah meninggalkan kawasan ini. Ramai yang behijrah ke tempat lain dan ramai yang tutup perniagaan mereka dan pelabur ramai yang lari.

“Alhamdulilah wujudnya hampir 10 tahun ESSCOM di Lahad Datu, kita nampak sosi-ekonomi bertambah baik . Para pelabur pun dah berkunjung balik ke Lahad Datu,” katanya.

Keyakinan itu disandarkan dengan komitmen serta dedikasi pasukan keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang bersama-sama menjaga keselamatan dan kedaulatan di bawah payung ESSCOM.

Kedaulatan negara tercalar dengan Peristiwa Lahad Datu yang meninggalkan sejarah hitam buat Malaysia apabila ramai perwira negara gugur mempertahankan negara daripada dicerobohi pengganas Sulu pada 2013.

Tragedi pencerobohan itu dikaitkan dengan insiden diplomatik yang berlaku antara Malaysia dan Filipina sejurus selepas 235 pengganas Filipina yang sebahagiannya bersenjata mendarat di Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013. – AlHijrah Online

Penulis adalah Editor / Penerbit Berita AlHijrah.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply