FaceApp perdagang privasi?

Oleh Rozais al-Anamy

MEDIA sosial khususnya Instagram dan Twitter dipenuhi hantaran wajah-wajah versi tua hasil aplikasi FaceApp yang sedang popular ketika ini. Jika sebelumnya ia mampu menukarkan gambar kepada riak tersenyum, perubahan gaya rambut dan gender, aplikasi yang pernah viral sekitar dua tahun dahulu kembali hangat kerana versi terbaru ini memiliki algoritma dengan efek tua atau muda yang dinaik taraf kualitinya.

FaceApp pertama kali dilancarkan iOS pada Januari 2017, dan untuk Android pada Februari 2017. Pengguna boleh menggunakan aplikasi ini secara percuma pada tiga hari pertama, dan dikenakan bayaran melalui langganan jika ingin menggunakan semua ciri yang ada. 

Tidak hairanlah ia tersenarai antara aplikasi terbaik di App Store serta Play Store dan memperolehi badge Editor’s Choice dari Google pada tahun tersebut kerana pernah mencatat muat turun lebih dari 100 juta kali.

Manusia mudah terhibur melihat perubahan diri sendiri, di mana wajah pada usia tua dapat dilihat pada masa sekarang, rambut yang kerinting boleh diluruskan, orang tua boleh dimudakan serta pelbagai perubahan lagi.

Beratus juta pengguna ini secara mudah menghabiskan mereka berseronok dengan aplikasi ini, serta berkongsi rasa dengan rakan-rakan yang sama minat dengannya. Perbincangan seputar benda remeh sebegini mungkin mencuri sebahagian besar masa yang sepatutnya digunakan untuk memikirkan permasalahan hidup yang lebih penting.

Secara tidak langsung juga ia adalah manifestasi rasa kurang puas hati terhadap penampilan sendiri dan boleh mencetuskan rasa tidak bersyukur kepada anugerah Ilahi. Walaupun kelihatan ia hanya untuk berhibur, secara halus ia telah mencetuskan rasa sebegini dalam diri. Seseorang yang yakin dengan keistimewaan diri tidak mungkin terfikir untuk melihat diri sendiri dalam bentuk yang lain.

Selain itu turut menjadi kerisauan ialah privasi pengguna yang memuat naik gambar mereka melalui aplikasi ini kerana FaceApp boleh mengakses gambar, maklumat lokasi, penggunaan data dan ‘history browing’ penggunanya.

Apatah lagi gambar yang ingin diedit itu perlulah dimuat naik terlebih dahulu ke server FaceApp untuk ditapis. Ini bermakna server tersebut menyimpan kesemua gambar pengguna yang telah pun mencapai angka ratusan ribu.

Jika dimuat naik ke Cloud, ia memungkinkan akses oleh ramai penggodam ke Cloud, dan dengan mudah mereka boleh menggunakan maklumat itu untuk kepentingan diri mereka seperti menjualnya kepada pihak ketiga.

Kebimbangan ini pernah dibangkitkan oleh ahli politik Amerika Syarikat seperti Senator Chuck Schumer dari Parti Demokrat yang meminta FBI menyiasat mekanisme pengumpulan data yang dilakukan melalui aplikasi berkenaan. Ini kerana maklumat pengguna boleh disimpan dan diproses di AS atau negara lain di mana FaceApp itu berurusan.

Beliau khuatir data milik warga AS yang jatuh ke tangan pemerintah Rusia disalah guna untuk tujuan tertentu memandangkan pengasas aplikasi ialah Rusia Wireless Lab. Apatah lagi hasil aplikasi oleh kepintaran buatan (AI) ini juga kelihatan sangat realistik kerana menggunakan jaringan neutral untuk mengubah wajah.

Namun begitu Ketua Pegawai Eksekutif FaceApp, Yaroslav Goncharov menegaskan bahawa aplikasi ini melakukan sebahagian besar pemprosesan di Cloud, terutama di Amazon Web Services dan Google Cloud.

Goncharov menambah, kebanyakan gambar pula dihapus dari server mereka dalam waktu 48 jam sejak waktu ia dimuat naik, dan menafikan dakwaan data pengguna tersebut dikirimkan ke Rusia serta dijual atau diberi kepada mana-mana pihak ketiga.

Tindakan memberi maklumat peribadi secara percuma kepada sesiapa sahaja dengan alasan untuk berhibur melalui aplikasi seperti ini bukanlah suatu tindakan yang bijak.

Walaupun pengasasnya telah menafikan menjual data penggunanya kepada pihak ketiga, tetapi berhati-hati dalam perkara sebegini adalah lebih baik untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa penggodam atau pihak yang tidak bertanggungjawab.

Apakah perasaan anda sekiranya terlihat gambar anda terpapar di pasar raya tanpa pengetahuan anda sendiri? Cuba juga bayangkan beberapa dekad lagi, sukarkah untuk mengecam anda pada usia tua?

Leave a Reply