
KUALA LUMPUR: Struktur gaji negara perlu diteliti semula bagi memastikan pekerja yang memperoleh pendapatan melebihi kadar gaji minimum turut menikmati pelarasan gaji secara berkala seiring peningkatan kos sara hidup.
Ahli Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali berkata, ketika ini kerajaan menetapkan gaji minimum pada kadar RM1,700 sebulan, namun tiada mekanisme yang jelas bagi memastikan pekerja yang menerima gaji sedikit lebih tinggi turut menikmati kenaikan gaji.
“Golongan inilah yang akhirnya terhimpit kerana pendapatan mereka hampir tidak berubah walaupun kos sara hidup terus meningkat,” katanya pada Persidangan Wisdom Malaysia Kali Ke-2 (2026), hari ini.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan ramai majikan hanya memberi tumpuan kepada pelaksanaan gaji minimum tanpa menyemak semula struktur gaji pekerja yang berada di atas paras berkenaan.
Dalam pada itu, Anuwar berkata trend penurunan gaji permulaan graduan kini semakin ketara berbanding kira-kira dua dekad lalu.
“Sekitar 20 tahun lalu, graduan baharu dengan ijazah pertama boleh memulakan kerjaya dengan gaji sekitar RM3,500 sebulan.
“Hari ini, akibat pertambahan jumlah graduan dan tekanan dalam pasaran pekerjaan, gaji permulaan semakin menghampiri kadar gaji minimum. Malah ada graduan hanya menerima antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan,” tambahnya.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai cabaran besar yang memerlukan campur tangan kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti untuk menyerap pertambahan graduan setiap tahun.
Menurutnya, penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan langkah yang baik, namun perlu disokong dengan pengembangan aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan yang setanding dengan kemahiran graduan.
“Apabila graduan TVET memasuki pasaran pekerjaan, mereka tetap akan berdepan masalah yang sama sekiranya peluang pekerjaan berkualiti tidak berkembang seiring dengan peningkatan kemahiran,” ulas beliau.
Beliau turut menggesa kerajaan dan pemain industri memberi tumpuan kepada pembangunan industri tempatan yang lebih berdaya saing melalui inovasi, teknologi dan peningkatan produktiviti, selain tidak terlalu bergantung kepada pelaburan asing yang berintensifkan buruh.
“Saya melihat terlalu banyak tumpuan diberikan kepada usaha menarik pelaburan asing. Sudah tentu pelaburan asing penting, tetapi kebanyakannya datang kerana kos buruh rendah dan membabitkan industri yang berintensifkan buruh,” katanya. — AlHijrah Online.