Connect with us

ALHIJRAH NEWS

HARGA PETROL DAN DIESEL TANPA SUBSIDI TURUN MULAI ESOK

EKONOMI

HARGA PETROL DAN DIESEL TANPA SUBSIDI TURUN MULAI ESOK

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga RON97 turun 20 sen kepada RM4.15 seliter berbanding RM4.35 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi turun 15 sen kepada RM3.62 seliter daripada RM3.77.

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi serta diesel tanpa subsidi turun antara 10 hingga 20 sen seliter bagi tempoh 13 hingga 19 Ogos.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga RON97 turun 20 sen kepada RM4.15 seliter berbanding RM4.35 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi turun 15 sen kepada RM3.62 seliter daripada RM3.77.

Harga diesel tanpa subsidi pula turun 10 sen kepada RM4.47 seliter berbanding RM4.57 sebelum ini.

Dalam pada itu, harga bahan api bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan RM2.10 seliter bagi diesel di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).

Menurut MOF, kerajaan menanggung subsidi RM1.63 seliter bagi pengguna yang layak di bawah BUDI95, manakala subsidi RM2.37 seliter ditanggung bagi BUDI Diesel.

Harga di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut kekal masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Penurunan harga bahan api tanpa subsidi itu susulan kejatuhan harga minyak dunia minggu lalu apabila harapan terhadap penyelesaian konflik antara Amerika Syarikat dan Iran menyebabkan harga minyak diniagakan lebih rendah bagi sebahagian besar minggu berkenaan.

Harga minyak mentah Brent turut merosot di bawah AS$80 setong pada awal tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM), paras terendah dalam tempoh tiga minggu.

“Namun begitu, premium risiko geopolitik kembali meningkat menjelang penghujung tempoh pengiraan APM apabila prospek rundingan antara Amerika Syarikat dengan Iran kembali merosot, susulan tuntutan baharu yang dikemukakan kedua-dua pihak,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan ketidaktentuan mengenai pembukaan semula Selat Hormuz masih menimbulkan risiko terhadap bekalan minyak dunia.

“Dengan itu, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara dalam tempoh terdekat,” menurut MOF. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in EKONOMI

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading