Connect with us

ALHIJRAH NEWS

FOKUS PORTFOLIO LEBIH KUKUH & PULANGAN KONSISTEN, MISI TABUNG HAJI

DALAM NEGARA

FOKUS PORTFOLIO LEBIH KUKUH & PULANGAN KONSISTEN, MISI TABUNG HAJI

Proses pembersihan portfolio menjadikan pegangan aset TH lebih ringkas, berkualiti dan fokus, sekali gus membolehkan institusi itu menumpukan kepada aset patuh syariah berkualiti tinggi, hartanah dan infrastruktur serta pelaburan strategik antarabangsa.

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) kini berada pada landasan lebih baik untuk menjana pulangan antara empat hingga lima peratus atau lebih tinggi secara konsisten tanpa mengambil risiko berlebihan.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur Business School Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, proses pembersihan portfolio menjadikan pegangan aset TH lebih ringkas, berkualiti dan fokus, sekali gus membolehkan institusi itu menumpukan kepada aset patuh syariah berkualiti tinggi, hartanah dan infrastruktur serta pelaburan strategik antarabangsa.

Pemulihan lembaran imbangan serta pemindahan aset tidak produktif kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) menjadi kunci kepada kestabilan TH ketika ini, selain mengukuhkan asas dalam memulihkan keyakinan pendeposit, kesolvenan dan keuntungan.

“Aset-aset bermasalah yang menjejaskan pulangan sudah dikeluarkan, membolehkan TH memfokuskan kepada tiga kelas aset yang utama. Pertama, aset patuh syariah berkualiti tinggi iaitu saham-saham syarikat serta sukuk kerajaan dan korporat gred tinggi.

“Kedua, pelaburan hartanah dan infrastruktur. Aset fizikal yang menjana sewa dan aliran tunai jangka panjang. Ini penting kerana selari dengan keperluan TH untuk menyediakan dana jangka panjang bagi membiayai kos menunaikan haji manakala yang ketiga, pelaburan strategik dan antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Aimi Zulhazmi berkata, kepelbagaian dalam pasaran luar dapat membantu mengurangkan risiko selain membolehkan TH memanfaatkan peluang pertumbuhan yang stabil.

Kecekapan sebenar portfolio dapat dinilai daripada dua sudut, iaitu pulangan berasaskan risiko serta pematuhan syarikat atau pematuhan syariah yang kukuh.

“Cabaran jangka panjang adalah untuk memastikan profesionalisme dalam pengurusan dana, kos operasi yang rendah dan tidak mengulangi lagi kesilapan iaitu pelaburan bukan teras,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengawasan luar yang bebas amat kritikal bagi memastikan risiko pelaburan terus dikawal.

“Bila lubang dalam lembaran imbangan itu sudah ditutup dan aset dinilai semula pada nilai pasaran semasa, ini memberikan dua isyarat penting kepada hampir 10 juta pendeposit TH.

“Apa isyaratnya? Pertama, TH kini lebih solven. Risiko kerugian besar akibat aset yang lapuk sudah berkurangan. Ini bermakna dana pendeposit lebih selamat.

“Kedua, agihan hibah yang lebih konsisten. Selepas penstrukturan, adalah bukti paling konkrit,” katanya. – AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading