Connect with us

ALHIJRAH NEWS

RM600 SATU TRIP: TEKONG DARAT DITAHAN SELUDUP LIMA PATI

DALAM NEGARA

RM600 SATU TRIP: TEKONG DARAT DITAHAN SELUDUP LIMA PATI

Kegiatan itu dipercayai didalangi seorang ejen dikenali sebagai “Kevin” yang berpangkalan di ibu negara, dengan bayaran dibuat secara tunai selepas urusan penghantaran selesai. Kelima-lima pendatang asing terbabit dipercayai akan dihantar ke Johor untuk bekerja sebagai buruh, manakala kereta yang digunakan merupakan milik suspek yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu e-panggilan.

KOTA BHARU: Polis menahan lima pendatang tanpa izin bersama seorang lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat dalam satu operasi di Bukit Panau, Tanah Merah, hari ini.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua mereka ditahan dalam Ops Taring Wawasan Kelantan pada 6.10 pagi oleh pasukan Task Force Batalion 7 PGA Kuantan, Pahang dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah.

“Pasukan operasi telah mengesan sebuah kereta Honda City yang dalam perjalanan dari Pasir Mas ke Tanah Merah namun pemandu memecut kenderaannya apabila menyedari kehadiran polis dan membelok ke Jalan Bukit Panau menghala ke Bukit Mas.

“Pasukan operasi kemudian mengejar kereta terbabit dan berjaya menahan di hadapan sebuah sekolah di Bukit Panau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, pemeriksaan dalam kenderaan itu menemukan lima individu berusia antara 18 hingga 31 tahun yang dipercayai pendatang asing, terdiri daripada seorang wanita warga Thailand dari Pattani dan empat lelaki warga Myanmar.

Beliau berkata, lelaki tempatan berusia 28 tahun itu pula didapati positif amphetamine menerusi saringan air kencing yang dijalankan.

Menurutnya, polis turut merampas kereta terbabit yang dianggarkan bernilai RM105,000, tujuh telefon bimbit bernilai RM10,500 dan wang tunai RM1,094, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM116,594.

“Lelaki tempatan itu didapati masih bujang dan tinggal di Kuala Lumpur. Dia mengaku kali kedua melakukan penghantaran pendatang asing itu dengan menerima bayaran RM600 bagi setiap penghantaran,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, kegiatan itu dipercayai didalangi seorang ejen dikenali sebagai “Kevin” yang berpangkalan di ibu negara, dengan bayaran dibuat secara tunai selepas urusan penghantaran selesai.

Urusan dengan ejen berkenaan juga hanya dilakukan secara bersemuka di ibu negara, katanya.

Kelima-lima pendatang asing terbabit dipercayai akan dihantar ke Johor untuk bekerja sebagai buruh, manakala kereta yang digunakan merupakan milik suspek yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu e-panggilan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading