
Sumber gambar: AFP
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa Washington mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz, sambil menegaskan tentera AS mungkin mengekalkan kehadiran mereka di laluan air strategik itu.
Lapor Anadolu Ajansi, Trump menerusi platform media sosialnya, Truth Social, berkata AS mempunyai kuasa mutlak ke atas selat berkenaan.
“AS mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz. Saya fikir kita akan mengekalkannya,” tulisnya.
Beliau turut menyifatkan sekatan tentera laut yang sedang dilaksanakan sebagai “tembok keluli”.
“Tiada apa yang boleh dilakukan Iran mengenainya.”
Setakat Rabu, tentera AS telah melencongkan 59 kapal dagang, melumpuhkan tiga kapal dan menaiki dua kapal “bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap sekatan itu,” menurut Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM).
Trump turut mendakwa keupayaan ketenteraan Iran telah dilumpuhkan.
Ketegangan di Asia Barat berterusan sejak perang AS-Israel terhadap Iran bermula pada akhir Februari lepas. Tehran dan Washington masih belum mencapai persetujuan muktamad untuk menamatkan konfrontasi itu, manakala penutupan Selat Hormuz terus menjejaskan rantaian bekalan tenaga global.
Pada Jun, AS dan Iran menandatangani memorandum persefahaman dan memulakan rundingan bagi mencapai persetujuan muktamad.
Bagaimanapun, rundingan berkenaan kemudiannya tergendala susulan perselisihan mengenai jaminan keselamatan dan kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz, antara laluan paling strategik di dunia bagi bekalan tenaga dan perdagangan global. – AlHijrah Online