Connect with us

ALHIJRAH NEWS

BUNUH ANAK TIRI BERUSIA EMPAT TAHUN, BEKAS CEF KEKAL HUKUMAN MATI

JENAYAH

BUNUH ANAK TIRI BERUSIA EMPAT TAHUN, BEKAS CEF KEKAL HUKUMAN MATI

Mangsa dilaporkan sering menjadi sasaran penderaan fizikal dan lisan sebelum mayatnya ditemukan di dalam sebuah tandas yang tidak digunakan di belakang rumah. Selain itu, mangsa turut dikurung di dalam sebuah bilik selama dua minggu dengan pintunya diikat menggunakan tali dari bahagian luar bagi memastikan bilik itu sentiasa berkunci.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas cef selepas menolak rayuan terakhirnya bagi kesalahan membunuh anak tiri lelaki berusia empat tahun pada 2015.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebulat suara mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap Mohd Sazly Zamry, 49.

Rhodzariah berkata perbuatan membunuh seorang kanak-kanak yang tidak berdosa merupakan tindakan yang amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Kekejaman dilakukan terhadap mangsa yang tidak berdaya dan tidak berdosa itu sukar diterima akal serta sama sekali tidak boleh dimaafkan, amat keji dan zalim, sehingga bukan sahaja mengejutkan nurani kehakiman, malah turut menggugat hati nurani masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata keterangan pakar patologi yang tidak dipertikaikan menunjukkan mangsa mengalami 29 kecederaan luaran pada badan dan kepala, yang tidak mungkin dilakukan oleh individu lain selain tertuduh.

Menurutnya, hukuman mati merupakan satu-satunya hukuman yang wajar dan setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

Mahkamah turut mendapati sabitan terhadap Mohd Sazly adalah kukuh selepas pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti yang membuktikan kesalahan tertuduh melampaui keraguan munasabah.

Ketika kejadian, Mohd Sazly merupakan satu-satunya individu yang menjaga mangsa selama dua minggu ketika isterinya keluar bekerja.

Sepanjang tempoh itu, mangsa dilaporkan sering menjadi sasaran penderaan fizikal dan lisan sebelum mayatnya ditemukan di dalam sebuah tandas yang tidak digunakan di belakang rumah.

Berdasarkan keterangan saksi, mangsa turut dikurung di dalam sebuah bilik selama dua minggu dengan pintunya diikat menggunakan tali dari bahagian luar bagi memastikan bilik itu sentiasa berkunci.

Siasatan turut mendapati tertuduh meminta bantuan jiran untuk membuang mayat kanak-kanak itu dengan mendakwa mangsa terlibat dalam kemalangan yang kononnya dilakukan oleh seorang rakannya.

Polis juga mendapati tertuduh bertindak melawan ketika hendak ditahan selain menghalang isterinya daripada membuka pintu ketika pihak berkuasa tiba di rumah.

Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan DNA mangsa ditemukan pada sebatang rotan dan batang mop, selain campuran DNA pada percikan darah yang terdapat di dinding rumah.

Mohd Sazly sebelum ini disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Januari 2020 kerana membunuh Aidil Adha, anak kepada isteri keduanya, di sebuah rumah di Jalan Sungai Udang, Klang, antara pukul 2 petang hingga 6.15 petang pada 20 Disember 2015.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang memohon supaya hukuman mati dikekalkan dengan menegaskan bahawa mangsa telah mengalami penderaan berpanjangan selama dua minggu.

Sementara itu, peguam Datuk Rozal Azimin Ahmad memohon agar hukuman mati terhadap anak guamnya digantikan dengan hukuman penjara. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in JENAYAH

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading