
MELAKA: Seorang bekas siak masjid dan seorang wanita yang masih berstatus isteri orang didenda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba melakukan persetubuhan haram di bilik pengurusan jenazah sebuah masjid.
Kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 48 dan 51 tahun turut berdepan hukuman penjara selama 18 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa cuba melakukan persetubuhan haram dengan individu yang bukan suami atau isteri yang sah di sisi hukum syarak.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di lokasi berkenaan dan didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Menurut fakta kes, perbuatan itu dipercayai dilakukan berulang kali di bilik pengurusan jenazah sebuah masjid antara Januari hingga April 2026.
Kedua-dua tertuduh dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada 4 Jun lalu selepas polis menerima laporan berkaitan dakwaan rogol.
Bagaimanapun, siasatan mendapati perbuatan itu dipercayai dilakukan secara sukarela dan berulang kali.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Mawardi Che Man, menegur kedua-dua tertuduh kerana melakukan perbuatan itu di tempat yang dikhususkan untuk menguruskan jenazah umat Islam.
“Nasib baik tidak jadi jenazah semasa melakukan perbuatan itu, kalau tidak terus dimandikan di situ,” katanya.
“Di sinilah tempat penyucian akhir orang yang mati. Tetapi apa yang berlaku di tempat kejadian ini mendatangkan dosa besar kerana persetubuhan haram dilakukan di tempat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kes itu lebih mengecewakan kerana tertuduh lelaki merupakan bekas siak yang bertanggungjawab menguruskan persiapan jenazah, manakala wanita terbabit pula membantu kerja pembersihan di masjid sebagai sukarelawan di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Saya sedih dan ada juga rasa marah, kamu sudah zina, itu sudah ada dalam al-Quran. Tambahan pula kamu lakukan di tempat yang begitu mulia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kesalahan itu bukan sahaja melanggar hukum syarak, malah mencemarkan amanah yang diberikan kepada individu yang sepatutnya menjaga kesucian rumah ibadat.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersama Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah yang memohon hukuman setimpal berdasarkan keseriusan kesalahan, lokasi kejadian dan kedudukan kedua-dua tertuduh sebagai petugas masjid. — AlHijrah Online.