Connect with us

ALHIJRAH NEWS

LEBIH 14 JUTA RAKYAT NIKMATI SUBSIDI BUDI95

EKONOMI

LEBIH 14 JUTA RAKYAT NIKMATI SUBSIDI BUDI95

Lebih 14.2 juta daripada 16.7 juta individu yang layak menerima subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) telah menikmati bantuan itu, membabitkan penggunaan melebihi 13.4 bilion liter petrol setakat Jun lalu.

KUALA LUMPUR: Lebih 14.2 juta daripada 16.7 juta individu yang layak menerima subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) telah menikmati bantuan itu, membabitkan penggunaan melebihi 13.4 bilion liter petrol setakat Jun lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, harga RON95 tanpa subsidi yang berubah mengikut harga pasaran hanya dikenakan kepada pembeli yang tidak layak menerima subsidi, termasuk bukan warganegara dan individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan BUDI95.

“Berdasarkan data penggunaan sebenar BUDI95 antara Oktober 2025 sehingga Jun 2026, kurang daripada satu peratus pengguna BUDI95 menggunakan lebih 200 liter RON95 secara konsisten.

“Secara purata, penggunaan RON95 adalah sekitar 100 liter sebulan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan subsidi bersasar itu dijangka menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung kepada harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang dan corak penggunaan sebenar.

Mengulas saranan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) supaya Malaysia menghapuskan subsidi bahan api secara berperingkat, Amir Hamzah berkata kerajaan memilih pendekatan subsidi bersasar berbanding subsidi pukal.

“Kelayakan BUDI95 melihat warganegara tempatan mendapat 200 liter bagi RON95 manakala bukan warganegara tidak menikmati subsidi ini. Ini telah menjimatkan ruang fiskal kerajaan.

“Kita sangat faham yang OECD telah menggalakkan untuk menarik balik semua subsidi tapi kita tidak boleh berbuat sedemikian dalam negara ini… yang pentingnya, kita buat (subsidi) secara bersasar dan bukan secara mendadak seperti yang dicadangkan oleh OECD,” katanya.

OECD sebelum ini mencadangkan Malaysia menghapuskan subsidi bahan api secara berperingkat bagi mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan ketika negara menghampiri status berpendapatan tinggi. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in EKONOMI

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading