
LABUAN: Program Road to MAHA Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan menjadi platform memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan keterjaminan makanan, selain mengangkat potensi sektor agromakanan menjelang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu berlangsung selama empat hari bermula 23 hingga 26 Julai di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan dan dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurut kenyataan bersama KPKM dan JWP, pemilihan Labuan sebagai lokasi penganjuran adalah bertepatan dengan kedudukan geografinya yang berdepan cabaran dalam rantaian bekalan makanan.
“Kira-kira 90 peratus bekalan makanan Labuan diperoleh dari Sabah, manakala hanya 10 peratus dihasilkan di peringkat tempatan,” menurut kenyataan itu.
Road to MAHA Labuan berperanan sebagai platform advokasi bagi meningkatkan kesedaran bahawa usaha memperkukuh keterjaminan makanan memerlukan komitmen bersama kerajaan, industri dan masyarakat.
Program itu menampilkan pelbagai pengisian menerusi Zon Keterjaminan Makanan dan Inovasi, Zon Penternakan Moden, Zon Akuakultur dan Industri Tuna, Zon Agropelancongan dan Budaya, Zon Usahawan PKS dan Belia serta Empayar Makanan Labuan.
Sempena majlis perasmian, Mohamad turut melancarkan Pelan Strategik Keterjaminan Makanan Wilayah Persekutuan Labuan 2026–2030 sebagai dokumen hala tuju bagi memperkukuh sistem makanan Labuan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Turut berlangsung penyampaian geran dan insentif pertanian berjumlah RM2,236,445 kepada kumpulan sasar, selain pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik bagi Pembangunan Industri Tuna dan Ekosistem Pemprosesan Makanan Laut di Wilayah Persekutuan Labuan.
Program Road to MAHA merupakan sebahagian daripada siri promosi menjelang MAHA 2026 yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang, Selangor dari 28 Ogos hingga 6 September ini dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”. — AlHijrah Online.