
SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 melakar pencapaian apabila sebahagian besar sasaran ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya dicapai, malah melebihi jangkaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MAHA 2026 merekodkan nilai jualan RM66.88 juta berbanding sasaran RM58 juta, selain kira-kira 4.3 juta pengunjung termasuk 1.7 juta golongan belia sepanjang penganjurannya sejak 28 Ogos lalu.
“Saya yakin sampai 10 malam ini, jumlah pengunjung akan melebihi lima juta. Sasaran kami empat juta orang, maksudnya lebih satu juta manakala penglibatan pempamer mencecah 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup MAHA 2026 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.
Selain itu, MAHA 2026 turut mencatatkan jangkaan pelaburan kira-kira RM10.3 bilion menerusi memorandum persefahaman (MoU) dan kolaborasi strategik yang dimeterai, mengatasi sasaran RM8 bilion.
“Memorandum persefahaman (MoU) juga berjaya dimeterai, melibatkan kolaborasi strategik dan jangkaan pelaburan kira-kira RM10.3 bilion berbanding sasaran RM8 bilion,” katanya.
Mohamad berkata, MAHA 2026 bukan pengakhiran kepada usaha memperkukuh sektor pertanian negara, sebaliknya menjadi lonjakan baharu ke arah transformasi sektor berkenaan.
“Segala pemeteraian perjanjian, jalinan perkongsian teknologi dan ilham yang dizahirkan sepanjang pameran ini mestilah disusuli dengan tindakan susulan yang pantas agar manfaatnya terus sampai kepada para petani, peladang, penternak, nelayan dan pengguna di luar sana,” katanya.
Bagi penganjuran akan datang, beliau berharap MAHA terus berkembang sebagai hab inovasi agromakanan terunggul di rantau ini, selain menarik lebih ramai golongan muda dan modal insan berkemahiran tinggi menyertai ekosistem pertanian.
“Kami akan terus berusaha menarik lebih ramai penyertaan anak muda dan modal insan berkemahiran tinggi ke dalam ekosistem pertanian, selaras dengan matlamat untuk membina sebuah negara yang mandiri, berdaya tahan dan terjamin dari segi bekalan makanan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, defisit imbangan dagangan negara dalam sektor agromakanan terus mencatatkan penurunan sebanyak 26.4 peratus bagi tempoh sehingga Mei 2026.
Nilai eksport meningkat 8.1 peratus kepada RM58.8 bilion, manakala nilai import menurun 1.1 peratus kepada RM92.7 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. — AlHijrah Online