
KOTA BHARU: Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersedia digerakkan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam pendaki yang masih belum keluar dari kawasan Gunung Trans Gerah, Lojing, Gua Musang.
Kumpulan itu melibatkan empat orang dewasa dan dua kanak-kanak masing-masing berusia 13 dan sembilan tahun.
Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata pasukan yang disediakan terdiri daripada empat anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat (STORM), empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang serta enam malim gunung.
“Mereka hanya akan digerakkan sekiranya terdapat keperluan daripada pihak Bomba Perak yang mengetuai operasi SAR,” lapornya.
Enam pendaki itu ialah Shafiee Sidek, 49, Hazman Mamat, 43, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, Siti Zulaiha Norizan, 39, Diya Raisha Wan Ahmad Aslam, 13, dan Ahmad Raef Wan Ahmad Aslam, sembilan.
Namun, seorang lagi individu yang namanya tercatat dalam permit pendakian bagaimanapun dilaporkan tidak menyertai aktiviti tersebut.
Menurut Farhan Sufyan, tumpuan SAR ketika ini adalah di kawasan Perak selepas kumpulan berkenaan dipercayai telah memasuki negeri itu dan dilaporkan terserempak dengan kumpulan pendaki lain pada 1 September lalu.
Katanya, pasukan dari Kelantan akan digerakkan sekiranya enam pendaki itu berpatah balik dan memasuki semula laluan dari negeri berkenaan.
“Berdasarkan maklumat daripada pendaki, kebiasaannya untuk merentasi ketiga-tiga gunung itu akan mengambil masa kira-kira tiga hari. Kita masih belum dapat memastikan sama ada mereka tersesat atau ada yang mengalami kecederaan,” katanya.
Beliau berkata perjalanan dari BBP Gua Musang ke kaki Gunung Trans Gerah mengambil masa kira-kira empat jam 30 minit, dengan sejam melalui jalan berturap manakala tiga jam 30 minit lagi menggunakan laluan off-road.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kejadian pendaki memasuki kawasan berkenaan sebelum gagal dikesan dipercayai merupakan kes pertama berdasarkan maklumat setakat ini.
Ujarnya, kumpulan terbabit terdiri daripada empat sekeluarga yang berasal dari Johor dan Terengganu serta mempunyai permit pendakian sah daripada Jabatan Perhutanan negeri.
Mereka turut menggunakan khidmat dua malim gunung dan dipercayai pertama kali mendaki gunung berkenaan berdasarkan rekod jabatan.
“Mereka mempunyai permit pendakian yang sah dengan Jabatan Perhutanan negeri dan turut mengupah dua malim gunung. Kalau mengikut rekod jabatan, mereka dipercayai pertama kali mendaki gunung berkenaan.
“Saya juga difahamkan kumpulan ini mempunyai pengalaman dalam aktiviti mendaki berdasarkan tindakan mereka mendapatkan khidmat malim gunung,” katanya.
Semalam, enam individu termasuk empat sekeluarga dan dua malim gunung dilaporkan dikhuatiri hilang selepas memulakan pendakian pada 29 Ogos lalu.
Keluarga mereka membuat laporan kehilangan selepas kumpulan berkenaan gagal keluar dari kawasan hutan seperti yang dijadualkan pada 3 September. — AlHijrah Online