Connect with us

ALHIJRAH NEWS

LEBIH 200 PENERBANGAN TERJEJAS AKIBAT DEBU GUNUNG BERAPI ANAK KRAKATAU

DUNIA

LEBIH 200 PENERBANGAN TERJEJAS AKIBAT DEBU GUNUNG BERAPI ANAK KRAKATAU

Sebanyak 243 penerbangan dan 29,619 penumpang terkesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta susulan debu daripada letusan gunung berapi Anak Krakatau.

Sumber Gambar: BERNAMA

JAKARTA: Operasi penerbangan di Indonesia terus terjejas susulan debu gunung berapi daripada Gunung Anak Krakatau, dengan gangguan dilaporkan di lapan lapangan terbang.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sahaja, sebanyak 243 penerbangan dan 29,619 penumpang terkesan setakat 6.30 pagi, membabitkan 184 penerbangan domestik, 54 penerbangan antarabangsa dan lima penerbangan kargo.

Penolong Timbalan Komunikasi dan Hal Ehwal Undang-undang lapangan terbang itu, Yudistiawan berkata gangguan melibatkan pembatalan, kelewatan dan lencongan penerbangan ke lapangan terbang lain.

Beliau berkata penutupan sementara Soekarno-Hatta dilanjutkan sehingga 6 petang hari ini berikutan debu gunung berapi Anak Krakatau, selaras dengan Notis kepada Anak Kapal Udara (NOTAM) yang berkuat kuasa.

“Kami memahami situasi ini telah menjejaskan perjalanan penumpang. Sejak penutupan sementara bermula, fokus kami adalah bagi memastikan keperluan penumpang terus dipenuhi, daripada penyediaan makanan dan kawasan rehat hinggalah pengaturan pengangkutan darat alternatif,” katanya.

Selain Soekarno-Hatta, tujuh lagi lapangan terbang yang terkesan ialah Halim Perdanakusuma di Jakarta, Radin Inten II di Lampung, Husein Sastranegara di Bandung, Budiarto di Tangerang, Pondok Cabe di Tangerang Selatan, Taufik Kiemas di Pesisir Barat, Lampung dan Atung Bungsu di Pagar Alam, Sumatera Selatan.

Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi berkata pihak berkuasa terus memantau pergerakan debu gunung berapi dan hanya akan membenarkan operasi penerbangan disambung selepas keadaan disahkan selamat.

“Keselamatan adalah keutamaan kami. Kami memantau perkembangan terkini berdasarkan maklumat daripada BMKG (Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik), justeru kami belum dapat menentukan bila situasi ini akan berakhir kerana keadaan cuaca yang sangat dinamik,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam memaklumkan keadaan itu turut menyebabkan beberapa penerbangan dari dan ke Kuala Lumpur terjejas.

“Pelawat warganegara Malaysia yang mempunyai penerbangan dari atau melalui CGK dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat berhubung penjadualan semula penerbangan atau laluan alternatif,” katanya.

Kedutaan Malaysia menasihati rakyat Malaysia yang terjejas supaya mengikuti perkembangan semasa berhubung situasi berkenaan serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, terutama dalam menghadapi sebaran debu akibat letusan gunung berapi.

Rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +62 21 522 4947 pada waktu pejabat atau +62 813 8081 3036 selepas waktu pejabat bagi mendapatkan bantuan konsular. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading